Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mayat Zainab Che Kob, 41, dari Kampung Tanah Puteh, di sini, ditemui suaminya, Khiri Zam Mohd Naim, 30, selepas 13 jam mangsa menghilangkan diri.
Ibu kepada 12 anak itu dikatakan keluar dari rumah dengan berjalan kaki seorang diri sejak jam 8 malam, Khamis lalu selepas dikatakan merajuk kerana suaminya tidak memberinya wang RM100 seperti diminta.
Menurut Khiri Zam, dia mencari isterinya sejak Khamis lalu tetapi gagal sebelum mencarinya semula awal pagi kelmarin di sekitar kampung dan bandar Gua Musang.
Katanya, ketika menunggang motosikal, dia ternampak selipar dipakai isterinya di tepi jalan dan memberhentikan motosikal.
“Saya tidak sedap hati apabila menemui selipar dipakai arwah di tepi jalan. Saya terus mencarinya dan menemui mayatnya terbujur di dalam longkang dengan kesan kecederaan di belakang kepala.
“Saya baru mendirikan rumah tangga dengan arwah sejak April lalu dan tiga daripada 12 anak arwah hasil perkahwinan dengan suami dulu juga tinggal bersama saya, manakala yang lain tinggal di tempat lain. Tak sangka kami terpisah buat selama-lamanya,” katanya.
Khiri Zam mengakui arwah berperangai pelik sejak pagi Khamis lalu apabila berpuasa separuh hari saja sebelum merajuk dan keluar dari rumah, jam 8 malam tanpa memberitahu arah tujuannya.
“Saya hanya bekerja sebagai buruh membina rumah di Kampung Pulai. Ketika arwah meminta RM100, saya hanya ada RM50 yang diberi majikan untuk membeli barang keperluan.
“Dia (arwah) kerap merajuk dan keluar dari rumah tetapi pulang semula beberapa jam selepas itu, namun kali ini arwah terus pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Menurut Khiri Zam, penemuan seluar dalam isterinya yang disangkut di kawasan berhampiran, menimbulkan tanda tanya, namun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
Anak mangsa, Mohd Hazizi Razali, 24, pula berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan ibunya ditemui mati di dalam longkang.
“Saya menemui ibu petang Khamis lalu, tetapi saya lihat keadaan dia biasa saja.
“Tiba-tiba, pagi ini (kelmarin) saya menerima panggilan telefon daripada seorang adik memaklumkan kejadian menimpa ibu sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Saya hanya mampu menangis apabila melihat mayat ibu terbujur kaku di dalam longkang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Katanya, mangsa dipercayai dibunuh dan polis menahan dua lelaki yang ada kaitan dengan keluarga mangsa untuk membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment